Tiada akta halang umat islam kerja Bar
KERAJAAN tidak dapat melaksanakan penguatkuasaan peraturan bagi menghalang umat Islam daripada bekerja sebagai pelayan bar atau menyediakan minuman keras kerana tiada akta mengenainya. Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar, berkata untuk melaksanakannya, ia memerlukan tindakan menyeluruh dan melibatkan pelbagai pihak. “Kalau hendak laksanakan peraturan dan undang-undang, ia terpaksa mengambil masa dan mekanisme tertentu supaya ia tidak menimbulkan masalah kepada mereka yang terlibat. Tapi mekanisme itu harus diteliti agar tidak timbul masalah dan spekulasi baru memandangkan isu ini agak sensitif dan ia tidak memberi tekanan kepada majikan, “katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Modal Program Peningkatan Pendapatan Rakyat Termiskin/Miskin DUN Rhu Rendang di bandar marang disini, semalam. Menurut Abdul Rahman, kalau dilihat daripada sudut agama Islam, orang muslim tidak boleh bersubahat dalam soal halal dan haram minuman keras. (dipetik dari SINAR HARIAN. AHAD 1 JULAI 2007) ---------------------------------------------------------------------------------------------------------- 50 memerintah Malaysia, pemerintahnya beragama Islam, wujudnya Institusi Agama seperti JAKIM, IKIM, dan wujud juga Majlis Fatwa Kebangsaan, wujudnya mufti-mufti di seluruh negeri dan pengisyhtiharan sebagai negara Islam pun sudah dibuat. Namun, rujukan pemerintahan tetap membelakangkan Al-Quran Hadith, kalau ada pun diambil sebahagiannya saja yang kena dengan nafsu pemerintah, yang dirasakan boleh mengugat kepentingan, dipertikaikan dan dihina, bahkan di saman di dalam mahkamah. Lihat saja kenyataan Timbalan Menteri, rupa-rupanya tiada akta untuk menghalang umat Islam dari bekerja sebagai pelayan bar dan menyediakan minuman keras. Sebanyak-banyak akta yang diluluskan di parlimen, akta yang melibatkan kesucian dan maruah Islam tidak dipedulikan, mereka bukan sahaja tidak melarang orang islam untuk terlibat dengan arak bahkan lebih teruk lagi mereka meluluskan pembinaan dan memberi permit kepada Pusat-Pusat Hiburan, bar dan disko yang jelas merosakkan masyarakat islam khususnya dan masyarakat malaysia tidak kira agama apa pun umumnya. Apa tidaknya, dari arak yang menjadi raja segala kejahatan, seterusnya akan berlaku pula penzinaan, memukul isteri dan segala macam kejahatan.
Kalau kerajaan boleh menggubal akta untuk cuba menghapuskan nama Islam pada pertubuhan, dan menggunakan kuasa untuk menyekat bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat, tapi dalam perkara ini jelas memperlihatkan keengganan dan ketidakseriusan Kerajaan Islam Hadhari ini dalam melaksanakan Syariat Allah SWT. Perkara-perkara agama dan soal Amar Maaruf Nahi Mungkar dipandang remeh dan ditongsampahkan sehinggakan pihak yang menyeru kepada kebaikan dianggap memecahbelah masyarakat dan mencegah kemungkaran pula dianggap mencabuli hak asasi manusia. Entahlah.......
|