Bercakap mengenai tamadun (hadharah), tidak akan lengkap hanya dengan memfokuskan rakyat untuk berjaya di dunia sahaja. Pembangunan di dunia wajib dihubung dengan akhirat. Ini baru dipanggil abadi yang sering disebut oleh Datuk Seri Abdullah. Keabadian itu sesuatu yang berterusan dari dunia hingga sampai hari kebangkitan dan berterusan di dalam kehidupan akhirat kelak.
Kita kena didik rakyat sembahyang kerana Allah SWT dan elakkan rasuah kerana Allah SWT. Tutup lesen Nite Club kerana Allah SWT dan didik remaja untuk tidak mendedahkan aurat dan elakkan pergaulan bebas kerana Allah SWT. Menguasai ilmu dan menjadi profesional kerana Allah SWT dan menjadi pemimpin yang adil dan tidak membazir kerana Allah SWT. Laksana segala hukum dan peraturan dari Allah SWT, untuk Allah SWT dan demi Allah SWT. Semua ini diselaraskan dengan doa iftitah yang membawa maksud " Sesungguhnya sembahyangku, hidupku dan matiku, kerana Allah SWT". Inilah bentuk tamadun (hadharah) yang perlu dibangunkan. Inilah yang selalu kita sebut sebagai paksi. Mencantikkan bandar, memperbanyakkan jalan, mengindahkan lanskap taman, memanjangkan landasan terbang, mengukuhkan institusi pendidikan dengan infrastruktur terbaik dan melengkapkan fakulti perubatan dan hospital dengan kemudahan tercanggih - INI TIADA KHILAF. KITA TIADA PERBEZAAN. Bagaimanapun, kita wajib kenal paksi terlebih dahulu sebelum mengajak rakyat kepada perubahan. Petikan buku Pendirian Nik Abdul Aziz Sumber : Http://www.naunganalquran.blogspot.com |